Friday 31 May 2013

Doa Rawatan Sakit Kepala



Rawatan sakit kepala tidak semestinya hanya dilakukan apabila seseorang itu telah mula mengalami sakit kepala. Rawatan sakit kepala boleh dilakukan terhadap sesiapa sahaja sebagai suatu ikhtiar untuk mencegah sakit kepala di masa-masa yang akan datang.

Terdapat empat kombinasi doa yang perlu dibacakan pada air dan kepala pesakit:
1) Surah al-Fatihah
2) Selawat Syifa'
3) Doa sakit kepala, Surah al-Waqiah ayat 19.

Boleh juga mengamalkan kaedah dengan menggunakan air dan daun inai. Terdapat sejenis lagi bahan yang boleh digunakan untuk rawatan sakit kepala iaitu daun inai. Menurut sepotong hadith, Rasulullah s.a.w pernah merawat sakit kepala dengan menggunakan inai. Kaedah rawatan dengan menggunakan inai adalah dengan memasukkan beberapa helai daun inai yang telah dipecah-pecahkan ke dalam bekas yang berisi air yang telah didoakan. Air tersebut digunakan untuk membasahkan kepala. Boleh juga dibalutkan kepala dengan daun inai yang telah dipecah-pecahkan dalam bekas air tadi.

Dada Berdebar-debar

Dada yang berdebar-debar (palpitasi) atau dikenali juga dengan darah gemuruh boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Palpitasi merupakan suatu keadaan di mana degupan jantung menjadi laju atau tidak teratur dan seseorang merasainya dan menyedari degupan jantungnya yang laju. Palpitasi boleh berpunca dari masalah jantung, hormon tiroid berlebihan, kurang darah merah (anemia), masalah psikologi seperti kebimbangan (anxiety) atau panik, minum minuman yang berkafein atau makan ubatan tertentu. Gejala palpitasi biasanya berlaku bersama-sama dengan badan berpeluh-peluh, tangan dan kaki menjadi sejuk, rasa keletihan, pening, menjadi pitam dan sesak nafas.

Kaedah dan Doa Rawatan Dada Berdebar-debar

Doa-doa yang digunakan untuk menghilangkan debaran di dada ialah:
1) Baca Surah Al-Fatihah
2) Ayat Kursi
3) Surah al-Ikhlas , Surah an-Nas dan Surah al-Falaq
4) i.Kemudian diikuti dengan membaca Surah ar-Ra'd ayat 28.
    ii.Surah al-An'am ayat 13.
   iii.Surah as-Syura ayat 33.
   iv.Surah al-Furqan ayat 45.

*Ayat-ayat ini dibaca pada air kemudian diminum dan disapu pada bahagian dada...

Mengikut kepada pengalaman yang telah saya lalui,,,penyakit ini sangat memberi kesan negatif terutamanya kepada golongan pelajar kerana ia menggangu perasaan dan prestasi...satu pengalaman semasa di sekolah menengah dahulu, saya pernah menyertai pertandingan syarahan bahasa arab diperingkat negeri,,,perasaan gementar yang tak mampu untuk dikawal menyebabkan minda saya menjadi kosong dan tidak mengingati apa yang dihafaz,,,tangan menjadi sejuk dan berpeluh,,,sehingga menyebabkan prestasi kurang memberansangkan...ia tidak boleh dipandang remeh kerana mengganggu cita-cita dan matlamat kita...sebaliknya carilah usaha untuk mengamalkan ayat-ayat ini disamping berselawat kepada Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w....Selamat mencuba dan bertawakkal...kerana Allah sahaja berhak memberi dan menyembuh seluruh penyakit...

Monday 27 May 2013

Penyakit Jasmani

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam at-Tibb an-Nabawi, menyatakan Penyakit Tubuh Badan merujuk kepada penyakit jasmani. Jasmani membawa pengertian komponennya melibatkan anggota-anggota zahir termasuk organ-organ dalaman seperti hati, jantung, paru-paru dan sebagainya. Sebaliknya dikatakan penyakit rohani melibatkan roh, akal, perasaan, dan emosi manusia.

 Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang satu organ dalam badan manusia yang memberi pengaruh besar kepada tingkah laku dan jiwa seseorang. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh an-Nu'man Ibn Bashir r.a yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik, maka akan baik seluruh jasad, apabila ia rosak maka akan rosak seluruh jasad (badan), ia tidak lain melainkan al-Qalb (jantung / hati).

Dari sudut terminologi Arab, al-Qalb bermakna jantung, tetapi dalam istilah melayu diterjemahkan sebagai hati.

Pengertian al-Qalb dalam hadith adalah tepat kepada makna jantung. Ini kerana dalam istilah arab, hati dinamakan kibdah atau kabid.

Al-Qalb lebih kepada makna jantung. Jantung disebutkan sebagai segumpal daging di dalam hadith tersebut kerana pentingnya jantung kepada kehidupan manusia. Jantung menjadi pusat pengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan. Ia mengepam darah sebanyak 80 kali dalam satu minit, atau 4800 kali dalam satu jam dan lebih 100 ribu kali dalam sehari. Jika jantung berhenti seketika, ia boleh memberi kesan yang buruk kepada tubuh badan manusia dan boleh menyebabkan kerosakan pada otak dan membawa maut.

Oleh itu, jantung menjadi organ pertama yang digerakkan Allah s.w.t. untuk berfungsi dan menjadi organ terakhir berhenti bergerak. Inilah keunikan ciptaan Allah s.w.t terhadap jantung dan kepentingannya disebutkan oleh Rasulullah s.w.t dalam hadith baginda.

Wednesday 8 May 2013

Penyakit Rohani

Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam "at-Tibb an-Nabawi", menyebutkan selain penyakit jasmani terdapat sejenis penyakit lagi yang dipanggil penyakit penyakit hati (rohani).

Penyakit rohani merupakan salah satu penyakit yang dihadapi oleh manusia walaupun ia tidak mempunyai petanda secara zahir. Ia melihat emosi, perasaan dan tekanan jiwa dan roh manusia yang tidak zahir pada pandangan mata kasar manusia.

Al-Quran menyebutkan sebanyak 28 kali tentang penyakit hati. Seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 10, al-Ma'idah ayat 52, al-Anfal ayat 49, at-Taubah ayat 125, al-Hajj ayat 53 dan lain-lain lagi.

Istilah Melayu menamakan dan mengaitkan penyakit rohani dengan penyakit  hati seperti sakit hati, keras hati, hati batu dan sebagainya. Semua itu menunjukkan perasaan dan perilaku seseorang itu dan juga menggambarkan penyakit yang ada dalam hati dan peraasaan seseorang.

Walau bagaimanapun, dalam konteks perbicaraan  al-Quran, terdapat beberapa penyakit yang dikaitkan dengan penyakit hati atau rohani iaitu hasad atau dengki, was-was, syak dan lain-lain. Keterangan yang terkandung dalam al-Quran dengan jelas sekali menyatakan bahawa manusia mempunyai penyakit hati atau rohani ini.

Kesimpulannya, penjelasan al-Quran yang banyak menyebut dan menceritakan tentang penyakit rohani, maka secara tidak langsung manggambarkan bahawa al-Quran adalah sumber yang terbaik dalam merawat dan mencegah penyakit ini. Tentu sekali ilmu perubatan moden tidak mampu untuk mengesan kehadiran penyakit rohani ini, apatah lagi untuk mengubatinya. Jadi, penyelesaian paling baik adalah melalui penggunaan ayat-ayat al-Quran sebagai ubat dan pencegah daripada berlakunya penyakit rohani ini.